Sejarah Sungai Megat Aris


Assalammualaikum dan salam sejahtera


Kampung Sungai Megat Aris terletak di Mukim Bagan Tiang di bawah pentadbiran Pejabat Penghulu Mukim Bagan Tiang  Daerah Kerian. Ia mula dibuka sejak    tahun   1818 oleh seorang yang bernama Tok Megat Aris. Tok  Megat Aris mempunyai Empat (4) adik beradik iaitu   Tok Megat Aris, Tok Ngah, Tok   Bohok dan Tok Wahab. Keempat-empat mereka ini di percayai berasal dari Sumatera Indonesia. Sebelum membuka perkampungan di Sungai Megat Aris mereka pernah tinggal di daerah-daerah lain di dalam  Negeri Perak seperti  Beruas dan Pantai Remis.

Diantara ke empat-empat adik beradik ini, Tok Megat Aris merupakan orang yang paling kanan dan paling di segani di kalangan keluarga dan juga  penduduk Mukim Bagan Tiang dan kampung-kampung yang berhampiran. Tok Megat Aris mempunyai kelebihan dari segi ilmu kebatinan dan di percayai boleh menghilangkan diri. Beliau mempunyai gelaranPanglima” di kalangan pengikut-pengikutnya. Kekuatan yang luar biasa membolehkan beliau dengan mudah menggalahkan binatang buas seperti harimau dengan mudah dan tidak perlu menggunakan senjata.Diawal pembukaan Kampung Sungai Megat Aris beliau telah di sertai oleh pendatang-pendatang yang datang dari  Sadau dan Petani dari Selatan Thailand. Pembukaan perkampungan ini berterusan sehinggalah berlakunya kematian  Tok Megat Aris

Kematian Tok Megat Aris telah mencatat sejarah di Kampung Sungai Megat Aris apabila jenazah Tok Megat Aris didapati tiada di dalam pengusungan, menyebabkan tiada jenazah yang di kebumikan pada masa tersebut. Peristiwa tersebut telah menjadi tandatanya di kalangan penduduk dan tiada siapa yang mengetahui kedudukan jenazah Tok Megat Aris sehingga ke hari ini.Kehebatan dan  ketangkasan yang dimiliki oleh Tok Megat Aris serta berlakunya peristiwa jenazah Tok Megat Aris hilang semasa di pengusungan menyebabkan penduduk telah bersepakat untuk menamakan kampung yang di bukanya dengan  “KAMPUNG SUNGAI MEGAT ARIS” dan kekal sehingga ke hari ini